Dec 5, 2009

NIK AZIZ EMOSI DAN KELIRU TENTANG JAWATANNYA DALAM PARTI

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Aziz Nik Mat hari ini nampak jelas tidak boleh mengawal emosi dukacita dan kekecewaan yang amat mendalam terhadap kekalahan anak emasnya yang disayangi Dato’ Hussam Musa, seorang pemimpin pelapis muda Pas Kelantan yang tewas dalam perebutan untuk jawatan Timbalan Presiden Pas di Muktamar Agung parti itu di Shah Alam baru-baru ini.


Hussam Musa sebelum ini memegang jawatan Setiausaha Politik Nik Aziz kini menjadi Exco Kanan Kerajaan Negeri dilihat umum sebagai anak emas Menteri Besar Kelantan itu yang diberikan keutamaan mengatasi pemimpin-pemimpin Pas lain di Negeri Kelantan.
Mengikut rekod lalu,apabila Menteri Besar Kelantan itu ditimpa sakit dua tahun lalu maka Hussam dipilih menggantinya untuk membentangkan belanjawan Negeri Kelantan dalam Dewan Undangan Negeri.
Seluruh Ahli Undangan Negeri itu terkejut apabila sessi pembentangan yang sepatutnya disampaikan oleh Menteri Besar digantikan oleh Hussam Musa apabila tiba-tiba Nik Aziz uzur pada pagi tersebut.


Yang menghairankan orang ramai ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yaakub sepatutnya secara automatik menggantikan Menteri Besar apabila ia berhalangan. Tetapi telah tidak terjadi demikian, pada hal Timbalan Menteri Besar itu masih sihat.
Sebaliknya Hussam Musa terus tampil membentangkan Belanjawan Negeri bagi pihak Nik Aziz sebagai Ketua Kerajaan Negeri.
Dari segi ilmu, Ahmad Yaakub jauh mengatasi Hussam terutama dalam bidang agama kerana beliau berkelulusan dari Universiti Al-Azhar Mesir yang tergolong dalam Kumpulan Ulamak dan sudah pastilah beliau menepati konsep yang dikehendaki oleh majoriti ahli Pas bahawa pemimpin utama parti itu mestilah terdiri daripada kalangan ulamak yakni orang yang mendapat ilmu agama secara rasmi melalui sistem sekolah Arab atau Agama dari serendah-rendah sampai setinggi-tingginya.
Sedangkan Hussam Musa hanyalah lepasan Institusi Pengajian Tinggi tempatan sahaja dan bukan dalam bidang agama.
Anehnya Menteri Besar Kelantan itu tidak sensitif atau peka bahawa kemungkinan Ahmad Yaakub sebagai Timbalan Menteri Besar yang sah itu akan terasa hati atas perkara tersebut.
Demikian rekod lama yang membuktikan Nik Aziz begitu taksub akan Hussam Musa.
Dalam pemilihan Muktamar Agung Pas yang berlangsung di Selangor bulan lalu Hussam Musa disekat oleh majoriti ahli Pas di seluruh negara daripada menduduki kerusi Timbalan Presiden parti itu dan sebaliknya ahli Pas memberikan undi yang besar kepada Nasaruddin Mat Isa untuk mengekalkan kerusi Timbalan Presiden Pas.
Bolehlah disimpulkan di sini bahawa slogan dan manifesto Hussam Musa memberi gambaran jelas kepada ahli Pas bahawa beliau menentang Presiden Pas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Nasaruddin Mat Isa yang mahu mengadakan perbincangan mengenai cadangan menubuhkan Kerajaan Perpaduan bersama-sama Barisan Nasional atau jelasnya UMNO.
Ertinya bagi Hussam Musa sekiranya ahli Pas tidak setuju dengan cara Abdul Hadi Awang dan Timbalannya untuk berbincang dengan BN mengenai Kerajaan Perpaduan, maka mereka hendaklah memberikan isyarat jelas dengan mengundinya untuk menang jawatan Timbalan Presiden dengan mengalahkan Nasaruddin Mat Isa dan lain-lain calon yang menentangnya.
Bagaimana pun jelas sekali bahawa majoriti ahli Pas merestui Abdul Hadi untuk berunding mengenai kerajaan Perpaduan dengan BN dengan tidak mencalonkan Hussam Musa yang diura-urakan mahu merebut jawatan Presiden parti yang disandang oleh Abdul Hadi kerana kononnya bagi Hussam tindakan Abdul Hadi itu menghina pendirian Pas sebelum ini . Hussam hanya dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden, tetapi malangnya ahli Pas memberi kemenangan kepada Nasaruddin yang menyokong idea Abdul Hadi untuk berunding dengan BN ke arah menubuhkan Kerajaan Perpaduan .
Ternyata Hussam tersalah sangka terhadap majoriti ahli Pas . Beliau berfikir, Mursyidul – Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat mendapat sokongan majoriti ahli Pas untuk menentang idea Abdul Hadi Awang . Tetapi nampaknya beliau amat kecewa kerana ahli Pas hanya menyokong Nik Aziz selama beliau tidak menentang Presiden parti itu.
Yang anehnya lagi, majoriti ahli Pas dalama Muktamar Agung parti itu bukan sahaja menolak Hussam Musa tetapi menolak seorang lagi calon pimpinan Pas Kelantan Dato’ Nik Amar bin Nik Abdullah , seorang tokoh ulamak muda dari Kelantan.
Barangkali ahli Pas berfikir bahawa Nik Amar juga mempunyai bendapat yang sama seperti Nik Aziz. Oleh itu beliau juga ditolak oleh ahli Pas.
Seorang bekas pegawai dari Kementeriann Pendidikan yang telah bersara, yang saya temui selepas menunaikan sembahyang jumaat di Masjid Seri Aman, Pasir Puteh, Kelantan semalam menyatakan bahawa " Nik Aziz sangat emosi dan keliru dengan jawatan yang disandangnya ."
Mengikut pendapatnya, dari segi mantiknya apabila Nik Abdul Aziz awal-awal lagi menentang idea Abdul Hadi dengan ucapan –ucapan yang keras kepada media tetapi ideanya ditolak oleh ahli-ahli Pas di Muktamar Agungnya, maka logiknya Nik Azizlah yang sepatutnya meletakkan jawatan kerana cadangan beliau sebagai Mursyidul-Am Pas tidak dihiraukan oleh majoriti ahlinya dalam Muktamar Agung parti itu.Tambahan lagi penolakan Hussam Musa tambah jelas bahawa ‘ayam tambatan’ Nik Aziz juga ditolak yang merupakan tamparan kepada Nik Aziz.
Pada pendapat saya, kata bekas pegawai itu lagi, Nik Aziz begitu marah bukanlah kerana prinsipnya yang bersandarkan Al- Quran dan Hadith, tetapi kerana tersinggung terhadap Abdul Hadi Awang yang tidak mengadapnya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan membincangkan cadangan Kerajaan Perpaduan dengan pihak UMNO.
Bagi saya , sekiranya Abdul Hadi berjumpa dengan Nik Aziz dulu tentulah Nik Aziz berbesar hati dan akan membuat kenyataan ‘sebenarnya idea itu adalah cadangan dari beliau.’
Saya berkata demikian kerana sebelum Pas menyertai BN pada tahun 1974 dulu, Nik Aziz yang pada masa itu memegang jawatan Ketua Dewan Ulamak Pas telah mengeluarkan pendapat dan fatwa bahawa parti Pas harus menyertai BN demi perpaduan orang-orang Melayu bagaimana pun ada sebab-sebab lain yang membuatkan Pas berpisah dari BN empat tahun kemudian.
Faktor kedua kemarahan Nik Aziz ialah kerana Nasaruddin begitu tergamak dan sampai hati tidak memberi laluan kepada Hussam Musa untuk jawatan Timbalan Presiden, sedangkan beliau dan Hussamlah yang memberi tempat dan menjemput Nasaruddin untuk datang ke Kelantan untuk bertanding dalam Pilihanraya Umum Ke 12 lalu untuk kawasan Parlimen Bachok dan pimpinan Pas Kelantanlah yang mengusahakan kemenangan Nasaruddin itu.
Nasaruddin dilihat oleh Nik Aziz tidak mengenang budi apabila tidak memberi laluan untuk memegang jawatan Timbalan Presiden Pas padahal jawatan itu sangat penting bagi Hussam yang dijadikan passport baginya untuk memimpin Pas Kelantan dan kemudiannya Hussam akan dipilih oleh Nik Aziz untuk menggantikannya bagi jawatan Pesuruhjaya Pas Kelantan dan sekaligus melayakkan beliau menjadi Menteri Besar Kelantan.
Sebenarnya Nik Aziz berfikir bahawa kedudukan beliau sama taraf dengan kedudukan Ayatullah Khameini di Iran sekarang ini di mana Presiden Iran mesti mendapat perkenannya sebelum membuat apa-apa cadangan. Di Republik Islam Iran , Ayatullah Khameini berada di atas Presiden Iran yang dicipta oleh Imam Ayatullah Ruhullah Khumaini semasa Revolusi di Iran menggulingkan Shah Iran pada tahun 1978.
Kedudukan ini ditetapkan oleh Perlembagaan Iran . Ia tidak sama dengan kedudukan Mursyidul – Am Pas.
Perkataan Mursyidul-Am ini dalam bahasa Arab membawa makna Penunjuk Agung parti tersebut, satu jawatan yang direka kononnya bagi mengangkat kedudukan Nik Aziz ke tahap yang lebih tinggi lagi daripada jawatan Ketua Dewan Ulamak.
Dalam Pas, ada tiga sayap yang diberi nama dengan perkataan Dewan iaitu Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak. Tetapi ketiga-tiga dewan ini berada di bawah kekuasaan Presiden parti, termasuk Dewan Ulamak.Oleh kerana ahli Pas memikirkan perlu digantikan Nik Aziz dengan tokoh lain untuk memegang jawatan Ketua Dewan Ulamak yang begitu lama iaitu sejak zaman Dato’ Asri Haji Muda lagi, lalu digubah satu jawatan baru Mursyidul – Am Pas iaitu merupakan Penasihat kepada parti tetapi tidak ada kuasa eksekutif di mana kuasa mutlaknya masih ada di tangan Presiden.
Tentulah Nik Aziz tidak sedar atau terlepas pandang mengenai perkara ini dan inilah yang menyebabkan beliau pernah mengarahkan ( melalui kenyataan media) semua orang dalam Pas hendaklah mendengar pendapatnya.
Lagi pun ahli Pas sendiri agak keliru dengan jawatan yang diberikan kepada Nik Aziz itu yang akhir sekali Nik Aziz sendiri turut keliru. Sepatutnya jawatan itu diberikan kepada satu orang yang tidak memegang jawatan penting dalam parti seperti Pesuruhjaya Negeri yang memegang jawatan Menteri Besar apabila negeri itu jatuh ke tangan Pas.
Tentulah berlaku pertindihan kepentingan bila Nik Aziz bercakap atas nama Mursyidul-Am yang menasihatkan seluruh ahli dan Presiden parti terhadap sesuatu perkara , sedangkan pada masa yang lain beliau bercakap atas nama Pesuruhjaya Pas Negeri yang memegang jawatan Menteri Besar di mana jawatan-jawatan ini yang bertanggungjawab melaporkan atau meminta kelulusan terhadap apa-apa keputusan mengenai parti daripada Presiden parti. Ini kerana jawatan Pesuruhjaya Pas Negeri-negeri adalah lebih rendah daripada Presiden parti dan Presiden partilah yang mengarahkan mereka.
Untuk lebih jelas dan tidak mengelirukan ahli Pas dan pengikut-pengikut Pas maka parti itu patut memikirkan semula bahawa jawatan Mursyidul-Am Pas itu perlu diberi kepada orang yang tidak memegang jawatan di peringkat negeri mahupun pusat kerana inilah punca kekalutan yang berlaku dalam Pas sekarang. Sekian, terima kasih.


*Ali Baba: Harap2 TGNA sedarlah oleh kerana disini telah menampakkan setiap kepincangan yang berlaku kadang2 dari diri sendiri. TGNA juga manusia yang bisa melakukan kesilapan dan juga kekhilafan. Apa yang perlu dilakukan muhasabahlah diri sendiri.

No comments:

Post a Comment